Aidilfitri mulia telah pun tiba,
Hati gundah rindukan sanak- saudara,
Teratak Ayah Bonda destinasi utama,
Namun keselamatan kediaman jangan dilupa.
Raya tahun ini semestinya yang paling meriah apabila pintu jiran tetangga, sanak saudara dan sahabat setia akan dibuka seluas-luasnya selepas dua tahun menutup pintu akibat dari pandemic Covid-19 yang melanda dunia.
Dalam merancang untuk berada di atas jalan secepat yang mungkin bagi mengelakkan tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas, anda harus sentiasa peka dengan keadaan di kediaman anda sebelum anda meninggalkannya dan kembali ke kampung halaman masing-masing.
Antara perkara yang anda perlu pastikan sebelum meninggalkan kediaman anda ialah:
- Antara penyebab utama kebakaran yang sering terjadi ialah kerana litar pintas dari punca kuasa kediaman. Pastikan semua suis perkakas elektrik di rumah anda ditanggalkan daripada soket. Langkah ini bukan sahaja dapat mengelakkan dari sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku tetapi ia juga dapat menjimatkan kadar penggunaan elektrik kita.
- Bagi sesetengah kediaman yang mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing, letakkan haiwan peliharaan anda di luar di kawasan yang redup dan selesa. Pastikan anda meletakkan makanan dan minuman yang secukupnya juga sepanjang tempoh ketiadaan anda.
- Hal ini adalah kerana jika haiwan peliharaan anda kehabisan makanan dan kelaparan, ia pasti akan memasuki rumah untuk mencari makanan dan hal sebegini boleh menyebabkan ia terperangkap dalam rumah dan merosakkan harta benda anda.
- Tidak kira sama ada pulang ke kampung beraya atau kemana sahaja, pastikan anda sentiasa mengunci pintu dan tingkap kediaman anda. Terutamanya pintu utama dan pintu belakang rumah anda harus sentiasa dikunci dan lebih bagus jika dilengkapi dengan sistem kunci pintar yang mempunyai penggera.
- Adat hidup berjiran, kita haruslah sentiasa baik dengan jiran tetangga agar sentiasa sedia menolong di waktu hadapan jika terjadi sesuatu pada kita kerana merekalah yang paling dekat dengan kita, hidup di kawasan kediaman yang sama.
- Lebih-lebih lagi pada musim perayaan, sentiasa maklumkan kepada jiran terdekat tentang keberadaan kita sepanjang tempoh ketiadaan kita di rumah. Mereka akan menjaga dan melihat-lihat kediaman kita. Begitu juga dengan balai polis berdekatan dengan mengisi borang yang disediakan. Pihak polis akan melakukan rondaan secara berkala sepanjang ketiadaan anda sekali gus membantu menjaga keselamatan kediaman yang ditinggalkan.
