Kinta Properties Telah Siap Bina Pulih Kediaman yang Rosak Akibat Ribut

Post at:
2022-06-15
BERITABMCSR

Kinta Properties Telah Siap Bina Pulih Kediaman yang Rosak Akibat Ribut

Kinta Properties Sdn Bhd telah berhasil memulihkan dua buah rumah di Kampung Tawas yang rosak teruk akibat ribut yang melanda pada bulan Januari yang lalu.

Mendengar rintihan mangsa yang memohon bantuan, Kinta Properties telah berjaya membaik pulih sepenuhnya salah sebuah rumah di Jalan Tawas manakala membaiki satu lagi rumah di Lorong 9, atas usaha sama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di bawah Program MBI Prihatin.

Pemilik rumah di Lorong 9, Kok Tek Mee amat berterima kasih dengan Kinta Properties dan mengatakan mereka seperti mendapat rumah baru.

“Kami amat berterima kasih kepada Kinta Properties. Suami saya telah menetap di sini sejak dia masih muda manakala saya telah menjadikan ini rumah saya sejak berkahwin dengannya 17 tahun lalu tetapi memikirkan kos baik pulih rumah kami terasa mustahil kerana kami tidak mampu dengan pendapatan tunggal suami sebagai pekerja kilang sahaja.

“Kinta Properties bukan sahaja menyelamatkan rumah kami, malah mereka memberi wajah baru terhadapnya.

“Mereka bukan sekadar membaikpulih atap, siling dan tiang rumah kami yang rosak akibat rebut, mereka juga sudi untuk memenuhi permintaan kami untuk menambah simen di bahagian beranda, menukar pagar dan pintu pagar baru serta menambah jubin di ruang tamu kami,” kata suri rumah yang berusia 52 tahun ini.

Bekas pemandu teksi, Shum Yew Kheong, 58, turut menzahirkan rasa terima kasih beliau kepada Kinta Properties dalam membaik pulih dan membina kembali rumah pusakanya di Jalan Tawas.

“Saya tinggal bersama kakak saya sebelum ini dan kini setelah rumah ini dipulihkan sepenuhnya, saya sudah boleh berpindah dan tinggal sendiri. Ia pasti menjadi lebih selesa untuk semua orang.

“Saya sangat gembira dan amat berterima kasih kepada Kinta Properties. Saya tidak akan pernah mampu untuk membina semula rumah itu sendirian,” kata Shum.

Menurut Pengarah Kinta Properties Edwin Tan Beow Aik, pihak pemaju telah membelanjakan kira-kira RM80,000 untuk memulihkan kedua-dua rumah itu, melebihi bajet awalnya iaitu RM60,000.

“Ini merupakan usaha dari program CSR yang dijalankan oleh Kinta Properties selepas menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bernilai RM40,000 ke atas 44 rumah lain di Taman Tasek Damai berhampiran pada Februari lalu,” katanya.