Idea Dekorasi Raya 2023

Post at:
2023-04-07
BMGAYA RUMAH

Idea Dekorasi Raya 2023

Tahun 2023 adalah permulaan baru bagi semua selepas pandemic Covid-19 melanda negara. Tahun ni setiap perayaan di Malaysia disambut dengan meriah tanpa sebarang sekatan dan hanya kawalan kendiri agar tidak berlaku apa -apa yang tak diingini.

Perayaan Hari Raya Aidilfitri dilihat bakal disambut dengan penuh kemeriahan apabila pelbagai video mengenai dekorasi raya yang elegan, menggelikan hati dimuatnaik ke laman media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram. Untuk anda yang mempunyai citarasa tersendiri, penulisan kali ini kami ingin berkongsi serba sedikit tips, trend dan inspirasi dekorasi raya 2023.

Hiasan Mengkuang Mengimbau Nostalgia

Trend raya untuk tahun ini dapat dilihat ke arah rekaan tradisional seperti batik dan mengkuang. Perhiasan kediaman bertemakan mengkuang pasti akan membangkitkan suasana kampung halaman lebih-lebih lagi di kawasan pendalaman. Untuk suasana seperti di kampung di awal 60an, hiasi dinding anda dengan dulang mengkuang agar ruang kediaman terlihat unik.

Langsir Menjadi Tumpuan Utama

Kebanyakan kediaman menjadikan rutin “tukar langsir” sebagai hiasan utama dalam dekorasi raya mereka. Selain daripada bertujuan menghalang cahaya dan sebagai dekorasi, langsir juga boleh digunakan sebagai bahan asas untuk Photobooth Raya anda. Jadikan langsir anda sebagai lokasi utama untuk para tetamu yang melawat ke rumah mengambil gambar bersama. Pemilihan warna langsir juga haruslah sesuatu yang tampak elegan, ceria dan mempunyai corak yang tidak keterlaluan.

Lampu Kelip-kelip Hiasan Wajib

Walaupun baru sahaja kita berpuasa tetapi kemeriahan Aidilfitri makin terasa dekat apabila semakin ramai yang sudah mula menghias ruang anjung kereta mereka dengan lampu kelip-kelip. Kebiasaannya, ia digantung di luar rumah, namun ia juga cantik jika dipasang di dalam rumah. Gantungkannya pada langsir rumah dan ia dengan serta merta menjadi ‘Photo wall’ tempat anda bergambar bersama keluarga di Hari Raya nanti. Tidak mahu kalah, ada juga yang memasangnya diseluruh kediaman termasuk bumbung. Lebih banyak, lebih meriah!

Hias Kediaman Dengan Pelita Panjut 10 Malam Terakhir Ramadan

Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, umat Islam menyambut 10 malam terakhir Ramadan yang juga dikenali sebagai Malam Tujuh Likur dengan memasang pelita panjut di kawasan jalan masuk ke rumah mereka. Suatu ketika dulu, tradisi memasang pelita raya atau panjut di keliling rumah menjadi sebahagian kewajipan terutama menjelang Aidilfitri dan kini tradisi ini masih diteruskan di kebanyakan kawasan kampung halaman.

Perayaan Aidilfitri adalah salah satu perayaan terbesar di Malaysia dan sambutannya dikongsi bersama-sama tanpa mengira kaum dan bangsa. Sambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan meriah bersama -sama dengan kaum keluarga, sahabat- handai serta jiran tetangga. Raya, raya juga. Keselamatan jangan dilupa!

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.